Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Pg. Mohammad Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 Mac. - Majlis Tadarus Malam-malam Bulan Ramadan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Istana Nurul Iman yang telah bermula dari 19 Februari lalu telah melabuh tirai dengan Majlis Khatam Al-Quran, malam tadi.
Majlis yang diadakan di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman di sini dilangsungkan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.
Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.
Seterusnya, majlis disusuli dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran bermula dari Surah Ad-Dhuha sehingga Al-Masad yang didahului oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, diikuti pembesar negara yang lain.
Majlis juga disusuli dengan bacaan takhtim termasuk tahlil beramai-ramai. Doa Khatam dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Abdul Hamid.
Dikir Syarafil Anam seterusnya menyemarakkan majlis yang dipersembahkan oleh Yang Dimuliakan Begawan-begawan Pehin Khatib dan Yang Mulia Begawan-begawan Mudim, diketuai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Hamidon yang kemudiannya membacakan Doa Dikir.
Bagi memohon keberkatan, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.
Turut berangkat dan hadir, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri dan Manteri-manteri Hulubalang, Manteri-manteri Pedalaman, Setiausaha-setiausaha Tetap, Naib-naib Canselor, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan para jemputan khas.